Friday, January 9, 2009

BAJA ORGANIK VERMIKOMPOS




Penghasilan baja kompos menggunakan cacing tanah, merupakan suatu cara terkini bagaimana baja organik bermutu tinggi boleh dihasilkan.

Aktiviti ini dapat menjana pendapatan sampingan dan tambahan kepada petani.

Aktiviti ini hanya melibatkan penggunaan bahan buangan pertanian dari sisa-sisa ladang seperti jerami padi, batang jagung, hampas kelapa atau bahan-bahan pertanian yang separuh reput.

Ia sesuai dicampur dengan najis haiwan seperti tahi lembu, tahi kambing dan tahi ayam yang usang sebagai bahan makanan kepada cacing tanah yang diternak.

Baja kompos berkualiti tinggi yang akan diperkenalkan ialah VERMIKOMPOS.

Ianya adalah bahan organik hasil dari campuran vermicast iaitu tahi cacing yang dikeluarkan selepas memakan sisa bahan tumbuhan dengan najis haiwan tadi dengan tinggalan reputan bahan organik yang tidak sempat dimakan oleh cacing tetapi mengalami proses pereputan sepenuhnya oleh mikrob.

Komponen vermicast yang terbentuk dari aggregat-aggregat kecil yang disatukan oleh sebatian organik polisakarida dapat memperbaiki struktur tanah.

Ia juga mengandungi pelbagai jenis hormon dan enzim yang dikeluarkan oleh jutaan mikrob yang terdapat dalam perut cacing.

Campuran vermicast dengan kompos hasil dari reputan bahan organik oleh mikroorganisma disahkan kaya dengan humus dan unsur-unsur pemakanan seperti nitrogen, kalium, fosforus, kalsium, magnesium dan boron serta mengandungi 1000 kali ganda mikrob lebih dari tanah biasa.

Antara bakteria-bakteria yang didapati dalam vermikompos ini ialah aerobik dan nitrogen leberating bacteria, Lactobacillus sp. (penguraian bahan organik), Pseudmonas sp. terutama P. aeruginosa (mengeluar hormon dan enzim untuk pembesaran pokok), Alkaligenes sp., Azobacter sp. (pengikat nitrogen kepada nitrites), Aktinomisis sp. dan lain-lain.

Hasil dari penyelidikan di Kanada, New Zealand dan Amerika Syarikat menunjukkan penggunaan vermikompos pada tanaman boleh menambah hasil tanaman dari 70% hingga 300%!