Saturday, November 1, 2008

Galak Bela Cacing

TEMERLOH, PAHANG 8 Sept (Hrkh) - Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Tembatan Banjir Negeri, Law Choo Kiang menggesa masyarakat petani berani menceburi bidang ternakan cacing kerana ia mempunyai potensi besar pada masa hadapan.

Ujarnya, ternakan cacing baka Indonesia dan Australia boleh menambah pendapatan petani moden kerana ia tidak perlu keluasan tanah sebaliknya boleh dilaksanakan secara bertingkat di bawah satu bumbung.

“Kerajaan Negeri Pahang percaya ternakan cacing berbaka baik bukan sahaja menambah pendapatan seseorang malahan turut membantu negeri memperkembangkan ekonomi,” jelasnya pada Harakahdaily ketika mengadakan lawatan kerja ke Kampung Kubang Menerong, Tasek Gelugor melihat projek usahawan muda, Abdul Halim Saidin, 40.

Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menggalakan mana-mana individu yang datang daripada kelompok petani agar berusaha sama ada perseorangan atau berkelompok memandangkan industri itu masih baru.

Kata Law, tanpa keluasan tanah seseorang itu boleh menambah kewangan peribadi asalkan minat yang mendalam serta menyertai kursus yang ditawarkan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri Pahang sentiasa mengalakan mana-mana individu yang berminat melaksanakan pertanian bercorak moden berteraskan pertanian seperti ternakan lintah, burung walid serta cacing,” tegasnya.

Menyentuh mengenai pasaran, beliau menegaskan, permintaan terhadap ternakan ini tidak mencukupi untuk kegunaan domestik.

“Bila cacing cukup besar penternak akan menjual kepada pemborong atau pusat ternakan di Sungai Besar, Selangor,” tambahnya. - mns/mks.

Sumber: Harakahdaily.net

Vermikompos

Penghasilan baja kompos menggunakan cacing tanah adalah salah satu lagi cara bagaimana baja organik bermutu tinggi boleh dihasilkan. Aktiviti ini dapat menjana pendapatan sampingan dan tambahan kepada petani. Aktiviti in hanya melibatkan penggunaan bahan buangan pertanian dari sisa ladang seperti jerami padi, batang jagung, hampas kelapa atau bahan-bahan pertanian terbuang yang separuh reput dan sesuai di campur dangan najis haiwan seperti tahi lembu, tahi kambing dan tahi ayam yang usang sebagai bahan makanan kepada cacing tanah yang diternak.

Baja kompos berkualiti yang akan diperkenalkan adalah “Vermikompos”. Ianya adalah bahan organik hasil dari campuran vermicast iaitu tahi cacing yang dikeluarkan selepas memakan sisa bahan tumbuhan dengan najis haiwan tadi dengan tinggalan reputan bahan organik yang tidak sempat dimakan oleh cacing tetapi mengalami proses pereputan sepenuhnya oleh mikrob.

Komponen vermicast yang terbentuk dari aggregat-aggregat kecil yang disatukan oleh sebatian organik polisakarida dapat memperbaiki struktur tanah dan mengandungi pelbagai jenis hormon dan enzim yang dikeluarkan oleh jutaan mikrob yang terdapat dalam perut cacing.

Campuran vermicast dengan kompos hasil dari reputan bahan organik oleh microorganisma disahkan kaya dengan humus dan unsur-unsur pemakanan seperti nitrogen, kalium, fosforus, kalsium, magnesium dan boron serta mengandungi 1000 kali-ganda mikrob lebih dari tanah biasa. Antara bakteria-bakteria yang didapati dalam vermikompos ini adalah aerobik dan ‘nitrogen leberating backteria’, Lactobacillus sp. (penguraian bahan organik), Pseudmonas sp. terutama P. aeruginosa (mengeluar hormon dan enzim untuk pembesaran pokok), Alkaligenes sp., Azobacter sp. (pengikat nitrogen kepada nitrites), Aktinomisit sp. dan lain-lain. Hasil daripada penyelidikan di Canada, New Zealand dan Amerika Syarikat menunjukkan penggunaan vermikompos pada tanaman boleh menambah hasil tanaman dari 70% hingga 300%.

Petikan dari Buku Pembiakan Cacing (Vermilultur) & Pengeluaran Vermikompos
Jabatan Pertanian Malaysia
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2008

Vermicompos Halal Ke Haram?

vermi yg bermaksud tahi cacing terhasil dari proses pembuangan tinja cacing selepas proses pemberian makanan kepada cacing yg diternak. Persoalan yang timbul dewasa ini sesetengah vermikompos boleh dikategorikan sebagai haram, walhal semua kita tahu cacing bukanlah binatang yang haram dipegang/dimakan oleh umat Islam.

Hal ini dapat diketahui setelah melihat dgn teliti cara penjagaan atau lebih tepat iaitu pemberian makanan kepada cacing tersebut. Semua kita tahu bahawa hanya sesetengah cacing sahaja yg boleh dikomersialkan kerana menghasilkan kompos atau kerana jenis cacing ini adalah jenis menguraikan tinja haiwan lain.

Dalam mana-mana kursus ternakan cacing, penternak disyorkan menggunakan tinja kambing/lembu kerbau atau mana2 tinja ternakan ruminan sebagai makanan/media cacing. Apa yang menjadikan sesuatu vermikompos itu haram adalah apabila penternak khasnya penternak yang bukan muslim menggunakan tinja khinzir sebagai ramuan kepada penghasilan media cacing. Hal ini mungkin tidak diketahui kesalahannya oleh penternak bukan muslin itu sendiri, tetapi sebagai pengguna muslim, kita haram menggunakan baja hasil dari tinja khinzir ini kerana ianya haram dari sudut syarak.

Oleh itu pengguna baja organik di luar sana dinasihatkan bertanya kepada penjual/pengeluar sesuatu jenis baja organik itu kandungan yang digunakan utk menghasilkan baja yg di beli. Kami sebagai pengeluar baja organik muslim tidak ada kompromi dalam mengunakan tinja khinzir ini sebagai ramuan dalam penghasilan baja organik kami, ianya dijamin HALAL.

Awas! Baja Organik Dari Tahi Babi

KUALA LUMPUR 30 Mac - Selepas digemparkan isu makanan halal dan haram tidak lama dahulu, Persidangan Dewan Rakyat hari ini didedahkan pula dengan penggunaan baja organik dari China yang mempunyai bahan utama berasaskan najis babi.

Lebih mengejutkan, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail (BN-Arau) yang membangkitkan perkara itu berkata, baja berasaskan najis babi itu telah digunakan secara meluas khususnya di kawasan penanaman padi sejak kira-kira empat atau lima tahun lalu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu berkata, kewujudan baja tersebut disedarinya kira-kira dua tahun lalu apabila dimaklumkan oleh seorang pegawai pertanian berketurunan Cina yang kebetulan terbaca mengenai makluman kandungan yang tertera pada bungkusan baja itu.

“Waktu itu saya sedang melawat kawasan penanaman padi dan kemudiannya pesawah di situ pun terkejut sebaik dimaklumkan kerana tidak tahu yang selama ini mereka guna baja berasas najis babi memandangkan makluman kandungan yang tertera adalah dalam bahasa Mandarin.

“Ini satu perkara yang perlu ditangani segera kerana ia melibatkan soal hukum, jika tidak mengenai makanan sekalipun, ia tetap terkena para petani yang menggunakannya,” katanya.

Tambah Syed Razlan, menurut maklumat yang diterimanya, baja organik China mula dibawa masuk ke negara ini kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding negara lain seperti Jerman, Jepun dan keluaran tempatan.

“Harga modal baja organik China hanya sekitar RM100 setiap tan berbanding baja organik tempatan yang berharga RM800 setiap tan dan dari Jepun pula mencecah RM4,000 setiap tan.

“Bagaimanapun janganlah kita lihat ia dari segi harganya sahaja kerana jauh lebih penting apakah orang yang beragama Islam tergamak hendak makan sesuatu hasil tanaman yang menggunakan najis babi sebagai baja.

“Pesawah di tempat yang menggunakan baja China ini terus mandi longkang untuk samak apabila saya beritahu tentang hal ini dan ini menunjukkan para petani sendiri tidak mahu gunakan baja jenis ini walaupun harganya rendah,” jelasnya.

Menurut Syed Razlan, sebagai jalan keluar daripada masalah ini, baja-baja organik yang diimport iaitu bukan sahaja dari China tetapi juga dari negara-negara lain harus diselidiki terlebih dahulu untuk pastikan bahan asasnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online