Dari segi fiqh, cacing termasuk dalam kategori binatang-binatang yang melata di atas muka bumi seperti ulat, serangga, lipan kala dan sebagainya. Dalam menjelaskan hukum memakannya, para ulama terbahagi kepada dua pandangan.
Pertama; haram memakannya kerana ia adalah keji. Mereka berdalilkan firman Allah (bermaksud) "Dan Dia menghalalkan untuk mereka yang baik-baik dan melarang ke atas segala yang keji-keji" (al-A'raf; 157)
Pandangan yang pertama ini adalah pandangan jumhur ulama. Bagi mereka, maksud keji dalam ayat di atas ialah yang dipandang jijik oleh manusia terutama masyarakat Arab. Setiap yang dipandang keji oleh tabiat manusia yang normal, maka memakannya adalah haram sekalipun tidak disebut pengharamannya secara khusus oleh al-Quran atau Hadis.
Kedua; ulama-ulama mazhab Maliki berpandangan; tidak haram memakannya kecuali jika diketahui boleh mendatangkan mudharat kepada tubuh badan. Hujah mereka ialah, tidak ada nas yang menunjukkan pengharamannya.
Adapun mengenai ayat diatas, mereka tidak sependapat dengan jumhur ulama di atas. Bagi mereka, maksud keji dalam ayat di atas, bukanlah diukur berdasarkan perasaan atau fitrah manusia, tetapi berdasarkan nas Syarak (al-Quran atau Hadis Nabi s.a.w.) Jadi "yang keji-keji" dalam ayat di atas maksudnya ialah yang diharamkan oleh Syarak seperti bangkai, darah, babi dan sebagainya.
Adapun binatang-binatang yang melata itu , tidak ada dalil dari Syarak yang mengharamkannya, maka ia kekal atas hukum asalnya iaitu harus, kecuali jika boleh mendatangkan bahaya atau mudharat maka haramlah ia dengan sebab tersebut, bukan yang sebab kedudukkannya sebagai binatang yang melata.
Itu adalah hukum memakannya. Bagaimana pula hukum memanfaatkannya dengan kegunaan-kegunaan lain dari sebagai makanan?
Katakanlah kita berpegang kepada jumhur yang mengharamkan kita memakannya, adakah ia bermakna haram juga kita memanfaatkannya untuk kegunaan lain? Jawapannya tidak. Tahi lembu, tahi ayam dan sebagainya haram kita memakannya, namun Syarak mengharuskannya untuk digunakan sebagai baja tanaman. Malah ulama-ulama mazhab Hanafi mengharuskan menjualnya melihat kepada manfaatnya walaupun dari segi zatnya ia adalah najis.
Tegasnya; tidak semua yang haram dimakan, haram pula dimanfaatkan untuk kegunaan lain selain makanan. Dalam sebuah Hadis Ibnu 'Abbas r.a. menceritakan, "Nabi s.a.w. telah melihat seekor kambing yang mati, lalu Nabi s.a.w. berkata kepada sahabat-sahabatnya; "Kenapa kamu tidak mengambil kulitnya, kemudian menyamaknya dan memanfaatkannya?" Mereka menjawab; "Ia adalah bangkai, wahai Rasulullah". Baginda menjawab; "Yang haram ialah memakannya" (HR Iman Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa tidak semua yang haram dimakan, haram pula memanfaatkannya untuk kegunaan lain selain sebagai makanan. Kita telah menjelaskan di awal tadi bahawa semua yang bermanfaat bagi manusia di atas muka bumi ini hukumnya adalah harus selagi tidak ada nas yang melarang atau menegahnya.
Maka sekalipun kita berpegang dengan pandangan jumhur yang mengharamkan kita memakan cacing namun itu tidak bermakna haram pula untuk kita memanfaatkannya untuk kegunaan lain, kecuali jika ada nas lain pula yang mengharamkan kita memanfaatkannya. Selagi tidak ada nas yang melarang, haruslah kita memanfaatkannya.
Satu persoalan lagi; adakah semua yang haram dimakan dianggap najis oleh Syarak? Jawapannya tidak. Semua najis haram dimakan, namun tidak semua yang haram dimakan adalah najis.
Para ulama menjelaskan, asal setiap benda yang wujud di atas muka bumi ini adalah suci hinggalah terdapat nas dari al-Quran atau Hadis yang menegaskan ia adalah najis dan perlu dikeluarkan dari hukum yang asal itu.
Cacing; walaupun haram memakannya kerana dianggap keji oleh manusia (berdasarkan pandangan jumhur), namun ia tidak boleh dianggap najis melainkan ada nas yang menjelaskan ianya adalah najis. Selagi tidak ada nas yang menyebutkan ianya sebagai najis, kekallah ia atas hukum yang asal iaitu suci.
Kesimpulannya, berdasarkan penerangan di atas, saya berpandangan (wallahu a'lam); harus menternak dan menjual cacing untuk tujuan-tujuan dan kegunaan-kegunaan lain selain dari sebagai makanan manusia sama ada dijadikan baja, bahan kosmetik, makanan ternakan dan sebagainya kerana tidak ada nas yang melarang kita dari memanfaatkannya dan tidak ada nas yang menyebutkan ianya sebagai najis.
Adapun untk dijadikan makanan manusia, hukumnya tidak harus kerana ia tergolong dalam makanan yang menjijikkan yang dilarang oleh Allah dalam ayat 157 dari Surah al-A'raf di atas berdasarkan tafsiran jumhur ulama.
Rujukan:
1. Al-At'Imah Wa az-Zabaih Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Abu Sari' 'Abdul-Hadi.
2. Majmu' al-Fatwa, Imam Ibnu Taimiyyah, juzuk 5.
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Qardhawi.
4. Tafsir al-Qurtubi (ayat 157, Surah al-A'raf).
5. Tafsir Ibnu Kathir (ayat 157, Surah al-Araf)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment