Thursday, November 6, 2008

Kompos Dari Rumah

SALAH satu jenis sampah yang banyak dihasilkan oleh masyarakat Malaysia ia- lah sisa-sisa makanan, atau lebih dikenali sebagai sampah dapur.

Mengikut sumber, kadar kitar semula di Malaysia cuma sekitar lima peratus. Oleh kerana sifat sampah dapur yang basah dan bercampur-gaul dengan pelbagai bahan, maka ia tidak boleh dikitar semula. Maka, ia perlu terus dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Jika diteliti, sampah dapur juga mempunyai nilai untuk dikitar semula. Mungkin bukan untuk dijadikan sesuatu barangan lain, seperti sampah kertas yang boleh dikitar semula untuk dijadikan kertas. Sebaliknya, sampah dapur boleh dikompos. Malah, setiap daripada penduduk di Malaysia, juga boleh memainkan peranan ini.

Malah, apabila Perdana Menteri Malaysia merasmikan program Bumi Hijau, tentunya baja dan tanah turut memainkan peranan yang penting. Penulis ingin mencadangkan supaya setiap rumah di kawasan perumahan terancang, perlu juga disediakan kawasan dan peralatan kompos yang bersesuaian dengan reka bentuk rumah tersebut.

Compost tulisan Clare Foster (2002) secara terperinci menerangkan kepada pembaca untuk bagaimana memulakan program kompos di rumah dengan pelbagai kaedah yang mudah dan murah.

Aktiviti pengkomposan bukannya satu perkara baru di dalam masyarakat Malaysia. Malah ia telah lama wujud dalam peradaban manusia. Sampah-sampah dari sumber makanan tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya sama ada dikompos di dalam tanah atau dibakar untuk dijadikan baja. Tentunya apabila sesuatu bangsa itu semakin bertambah, makanan akan turut bertambah, lantas menambahkan kuantiti sampah dapur. Ia perlu diurus sebaik yang mungkin.
Oleh kerana sifatnya yang tidak boleh dikitar semula, maka kebanyakan majlis tempatan akan menghantar sampah dapur terus ke kawasan pembuangan sampah. Bayangkanlah berapa banyak kawasan tanah diperlukan untuk tujuan ini, yang seharusnya dalam kepesatan ekonomi dan teknologi di Malaysia, pengurusan sampah perlu turut berkembang pesat.

Foster mencadangkan langkah-langkah yang lebih mudah dan murah. Setiap penduduk boleh membantu kerajaan di dalam menguruskan sampah-sampah dapur mereka. Yang diperlukan hanyalah perkakasan mudah - sejumlah kuantiti tanah yang minimum, bekas-bekas (seperti pasu) dan beberapa bahan yang boleh membantu mempercepatkan proses kompos, juga sejumlah cacing.

Menurut buku ini, di beberapa buah negara maju, perkakasan kompos boleh dibeli terus dari kedai. Namun begitu, Foster menunjukkan kaedah-kaedah mudah untuk membina sendiri perkakasan kompos. Misalnya, dengan menggunakan pasu bunga atau kayu yang kemudiannya dibentuk sebagai kotak.

Pengkomposan sampah paling mudah dilakukan dengan menanamkannya di dalam lapisan-lapisan tanah. Foster juga menerangkan bagaimana tanah tersebut boleh disuburkan, dengan menambah beberapa kandungan hirisan sayur dan buah. Manakala untuk mengelakkan bauan busuk daripada sampah, Foster mencadangkan supaya bahan-bahan kering seperti jerami perlu ditambah.

Menerusi buku ini, pembaca akan menyedari bahawa pengkomposan juga merupakan satu bentuk seni. Selain daripada membantu mengurangkan sampah ke tempat pembuangan sampah, juga turut berfungsi sebagai satu aktiviti yang sihat.

No comments: