Thursday, November 6, 2008

Mewah Bela Cacing 4

TIDAK perlu modal besar untuk menceburi bidang ternakan cacing, sebaliknya bergantung kepada keupayaan masing-masing. Jika ada sikit, kita buat cara sikit,” kata Mustafa.

Menurutnya, modal bukan faktor utama untuk memulakan perniagaan, tetapi semangat dan kesungguhan mesti ada dalam setiap diri mereka yang ada hasrat untuk terbabit secara serius.

“Sebagai permulaan, boleh cuba satu kilogram cacing dulu. Dalam sekilo, ada 2,000 ke 3,000 cacing induk dan ia berharga RM450 kerana diimport dari Indonesia dan Australia.

“Daripada satu kilogram, ia boleh membiak sehingga 10 kilogram dalam tempoh enam bulan. Seekor cacing pula boleh bertelur dan menetas empat ke 20 biji sekali.

“Jika ada 2,000 ekor dan setiap seekor boleh menetas minimum empat telur, dalam satu proses boleh hasilkan 8,000 ekor dan seekor cacing boleh bertelur sehingga 18 kali. Proses ini berterusan dan jika banyak cacing induk, lagi banyak hasilnya,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan harga pasaran hari ini, harga satu kilogram cacing mencecah antara RM500 ke RM600 dan ia pasti memberi pulangan kepada usahawan.

Katanya, untuk memulakan perniagaan itu, bakal usahawan juga mesti ada ilmu menternak cacing supaya tidak timbul masalah kemudian hari.

“Sebenarnya tidak sukar menjaga cacing, tetapi kita perlu tahu caranya. Cacing perlu dilindungi daripada matahari dan kerana itu saya cuba konsep di dalam rumah berbekalkan cahaya lampu dan kipas. Selain itu, tekniknya perlu betul bagi mendapatkan hasil memuaskan dan berterusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, cacing perlu ada perumah yang diperbuat daripada kayu bersaiz 0.6 meter lebar dan 1.2 meter panjang dan di dalamnya diletakkan campuran habuk papan serta tahi haiwan seperti kambing atau lembu.

Selepas itu, katanya, induk cacing berkenaan dibiarkan selama sebulan untuk proses pembiakan dan apabila sudah bertelur, ia dikeluarkan dan dialih ke perumah baru untuk melalui proses sama.

Katanya, dalam sehari, perumah perlu disiram sekali atau dua kali bergantung kepada cuaca bagi membolehkan cacing mendapat sumber air dan makanan mencukupi.

Telur yang ada di perumah dibiarkan untuk menetas yang mengambil masa 14 hari. Selepas empat bulan, cacing itu akan jadi cacing dewasa dan ia boleh dijual atau dijadikan baka.

“Mudah untuk menjaganya, cuma pastikan cahaya tidak terik dan siram air mengikut keperluan. Cacing memperoleh makanan daripada campuran habuk kayu dan tahi tadi.

“Melalui proses itu, tanah di bahagian permukaan perumah itu adalah baja dan ia boleh diambil dan diganti dengan medium sama.

“Baja ini boleh dijual manakala cacing pula membekalkan protein untuk kegunaan bidang perubatan dan kosmetik,” katanya.

Mustafa berkata, di negara luar seperti China, Filipina, Indonesia, Australia dan Eropah, industri penternakan cacing sudah lama diterokai, malah lebih maju dan moden daripada negara ini.

Sebagai contoh, katanya, di China, mereka maju dalam industri kosmetik menggunakan sumber yang ada pada cacing, manakala di Filipina pula, haiwan itu dijadikan sumber makanan mereka.

“Di Australia misalnya, setiap rumah dilengkapi tong sampah organik dengan dalamnya ada dua bahagian iaitu bahan pereputan dan cacing. Apabila sampah yang dibuang itu reput, cacing bertindak memakannya.

“Hasil daripada proses itu, akan keluar baja di bahagian bawah tong sampah berkenaan dan ia digunakan sebagai baja untuk tanaman,” katanya.

Mengenai pasaran, Mustafa berkata, permintaannya tinggi bukan saja di dalam negara, tetapi juga luar negara.

“Di China saja, mereka mahu bekalan cacing 50 tan sebulan, tetapi kami hanya mampu buat satu tan berikutan belum berupaya ke tahap itu lagi.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, hujung tahun ini kami akan bina kilang dan dalam tempoh lima tahun mensasarkan syarikat ini menjadi pengeluar baja terkemuka selain sebagai pusat cacing Asia Tenggara,” katanya.

Dalam usaha ke arah itu, Mustafa tidak lokek berkongsi idea mengenai cacing malah sejak September 2007, syarikatnya menganjurkan seminar kepada orang ramai untuk melatih dan membimbing mereka menjadi usahawan cacing.

“Sejak September lalu, lebih 500 orang mengikuti kursus ini dan 50 daripada mereka kini mengusahakannya secara kecil-kecilan. Saya harap dapat melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera kerana masa depannya sangat cerah,” katanya.

No comments: