Tuesday, October 28, 2008

Berita Cacing

Cacing jana pendapatan lumayan
Utusan Malaysia, 6 Feb 2008

SHAH ALAM - Usahawan tani di Selangor digalak menceburi bidang ternakan cacing secara komersial kerana ia mampu menjana pendapatan bulanan yang lumayan.

Pengarah Pertanian Selangor, Noorazimah Taharim berkata, ini kerana cacing kini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, antara kegunaan cacing ialah sebagai ejen penguraian bahan buangan industri untuk dijadikan baja organik, pemusnah sampah organik dan bahan campuran dalam makanan ternakan serta pembuatan kosmetik.

”Sebagai galakan, kerajaan Selangor menyediakan peruntukan sebanyak RM14 juta dalam sektor pertanian termasuk kegiatan penternakan cacing.

”Ia bertujuan membolehkan lebih ramai petani atau usahawan bumiputera menceburi bidang ini selain mengelakkan penggunaan bahan kimia dalam pembuatan baja,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pertanian, AZR Agro Centre, Mustafa Abdul Wahab berkata, kegiatan penternakan cacing hanya memerlukan modal yang kecil iaitu RM450 bagi sekilogram benih cacing selain kos penyediaan kandang mengikut keluasan.

Menurutnya, para petani yang berminat boleh memperoleh benih cacing itu daripada syarikatnya di samping mendapatkan khidmat bimbingan.

“Penternakan cacing pada dasarnya sangat mudah kerana ia dapat memanfaatkan bahan buangan yang sedia ada untuk kegunaan tempat pembiakan atau makanan cacing selain tidak mempunyai risiko jangkitan penyakit.

”Setakat ini, pihak kami berjaya menghasilkan seramai 30 usahawan bumiputera dalam kegiatan penternakan cacing secara komersial,” katanya.

Dari segi pemasaran pula, Mustafa menjelaskan, para petani yang telah mengeluarkan hasil seperti baja organik boleh menjual kepada syarikatnya atau mana-mana ejen pemasaran yang dipilih sendiri.

Kata beliau, pihaknya sedia membantu mana-mana individu yang berminat.

February 7th, 2008 Posted in Berita, Penternakan Cacing No Comments


Masalah Penternakan Cacing : Kematian Cacing Tanah
Penternakan cacing tanah mempunyai potensi yang besar. Namun begitu, saya dapati terdapat beberapa orang kawan yang merupakan pengusaha cacing tanah yang menghadapi masalah kematian induk cacing tanah yang mereka lepaskan kedalam kolah.

Mengikut maklumat dari penternak-penternak tersebut, cacing mereka menjadi semakin kurang setelah mereka membelanya selama dua bulan, mereka dapati setelah bulan ke dua, jumlah induk cacing mereka menjadi semakin berkurang.

Mengikut pandangan beliau (nama dirahsiakan) kemungkinan besar masalah ini terjadi adalah kerana beliau menggunakan najis lembu sebagai mediumnya dan tidak mencampurkannya dengan apa-apa bahan lain. Selain itu, beliau tidak pernah menggemburkan medium tersebut.

Menurut beliau, beliau menyedari cacing beliau menjadi semakin kurang setelah beliau melawat tapak projek beliau sewaktu malam dan mendapati semakin kurang cacing yang merayap di permukaan medium. Apabila mengesyaki baka cacing beliau menjadi semakin kurang, beliau membuat keputusan untuk mengeluarkan cacing dalam salah satu daripada kolah.

Seperti yang beliau jangkakan, memang cacing beliau tinggal amat sedikit dan hanya ada anak-anak cacing kecil sahaja yang kelihatan. Menurut beliau, medium yang beliau gunakan itu sudah menjadi sangat basah dibahagian dalamnya dan beliau mengesyaki ianya terlaly ‘padat’ lalu banyak cacing-cacing yang mati.

Saya ingin berterima kasih kepada beliau kerana sudi menceritakan kisah ini kepada saya dan saya harap beliau berjaya mengatasi masalah ini dan di harap selepas ini kesemua 10 kolah cacing beliau akan dapat menghasilkan hasil yang lumayan.

December 11th, 2007 Posted in Penternakan Cacing No Comments

Penternakan Cacing Tanah
Saya dapati terdapat ramai orang yang mula berminat dalam bidang penternakan cacing tanah. Beberapa syarikat sudah membuat kursus dalam bidang ini dan sudah ramai perbincangan-perbincangan di internet tentang penternakan cacing tanah.

Namun apa yang saya muskil ialah terdapat terlalu banyak perbezaan pendapat dan pandangan terhadap hasil yang akan diperolehi. Menurut sesetengah orang setelah 6 bulan, sekilo cacing tanah boleh menghasilkan kira-kira 5-6 kilo cacing tanah. Manakala bagi sesetengah orang pula, mereka menyatakan bahawa hasilnya lebih kurang 20-100 kg setelah 6 bulan diternak. Nampaknya terlalu besar jurangnya - antara 5-6kg dengan 20-100kg.

Mengikut apa yang saya baca, cacing tanah jenis cacing tanah boleh menghasilkan kukun (telur) sebanyak 2-3 kali seminggu dan ia mampu menghasilkan telur selama 6-1 tahun secara berterusan. Setiap kukun boleh mengandungi antara 1-40 ekor anak cacing, namun biasanya lebih kurang 2-4 ekor sahaja yang menetas menjadi anak cacing.

Kalau berdasarkan maklumat tersebut, mungkin logik juga sekiranya ia mampu mencapai 100kg setelah 6 bulan. namun begitu, terdapat terlalu banyak faktor lain yang mungkin mempengaruhi kadar pembesaran dan jumlah cacing yang hidup. sekiranya banyak yang mati, memang ia tidak akan dapat mencapai 100kg dalam masa itu.

Biasanya cacing yang selalu diternah adalah dari jenis cacing merah (red worm), cacing harimau (tiger worm) serta cacing nighcrawler. Apa yang saya perhatikan, di Malaysia, biasanya penternah akan menternak cacing merah ataupun cacing harimau sahaja.

No comments: